• Pusat Perlindungan Kucing Presint 9

    Pusat Perlindungan Kucing, Presint 9 telah beroperasi sejak tahun 2013 dan merupakan pusat perlindungan kucing pertama di Putrajaya. Pusat ini dibangunkan oleh Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Persatuan Perlindungan Kucing Putrajaya bagi melaksanakan pengoperasian serta penjagaan sementara kucing terbiar mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan.

    Pusat Perlindungan Kucing ini dijadikan sebagai penempatan sementara bagi kucing terbiar sebelum pengoperasian Pusat Simpanan Haiwan Kacau Ganggu (SANGKAR) di Presint 20. Pusat ini turut berfungsi sebagai pusat simpanan  kucing terbiar hasil operasi kawalan haiwan kacau ganggu yang dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya, di samping menerima penyerahan kucing terbiar daripada orang awam khususnya penduduk Putrajaya.

    Bagi memastikan pengurusan dan kebajikan kucing di Pusat Perlindungan Kucing, Presint 9 sentiasa terkawal dan teratur, syarat penerimaan kucing terbiar daripada orang awam adalah seperti berikut :

    i. Penerimaan kucing adalah terhad kepada penduduk Putrajaya sahaja. Pengesahan tempat tinggal hendaklah dikemukakan melalui dokumen sokongan seperti kad pengenalan serta bil utiliti semasa (elektrik, air atau lain-lain bil berkaitan).

    ii. Setiap penghantaran kucing hendaklah dibuat melalui tempahan janji temu sekurang-kurangnya dua (2) hari sebelum tarikh penghantaran. Penghantaran tanpa janji temu tidak akan dilayan bagi memastikan kelancaran urusan penerimaan dan pengurusan kucing di pusat perlindungan.

    iii. Jumlah penerimaan kucing daripada setiap individu adalah terhad kepada dua (2) ekor sahaja bagi setiap penghantaran.

    iv. Pihak pengurusan Pusat Perlindungan Kucing berhak menolak penerimaan kucing sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi atau kapasiti penempatan semasa telah mencapai had maksimum.

     

     Pusat Perlindungan Kucing, Presint 9 

     Alamat : Jalan P9B/2, Presint 9, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

     Hari Operasi :

    HariMasa 
    Isnin – Khamis9.00 pagi – 12.30 tengah hari, 2.30 petang – 4.00 petang
    Jumaat  9:00 pagi –12:15 tengah hari,  2:45 petang –4:00 petang
    Sabtu, Ahad & Cuti UmumTidak Beroperasi