• Portal LA21


    Portal LA21

    Apakah Local Agenda 21?

    Local Agenda 21 (LA21) merupakan inisiatif kerajaan Malaysia berasaskan Agenda 21, iaitu Pelan Tindakan Global ke arah Pembangunan Mampan bagi abad ke-21. Pelan ini terbentuk melalui Deklarasi Earth Summit yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992, dan telah dihadiri oleh 178 buah negara termasuk Malaysia. Agenda 21 mengandungi 40 bab yang menghuraikan langkah-langkah tindakan dan strategi pelaksanaan ke arah mencapai pembangunan mampan di peringkat global dan tempatan.

    LA21 menekankan penglibatan atau 'kerjasama strategik' tiga pihak utama, iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), masyarakat setempat, dan sektor swasta, dalam bekerjasama merancang serta menguruskan kawasan persekitaran mereka. Pendekatan ini bertujuan memacu pembangunan mampan serta meningkatkan kualiti hidup komuniti secara menyeluruh.

    Objektif Local Agenda 21 :

    1. Mendedahkan masyarakat dan sektor swasta tempatan kepada isu-isu pembangunan mampan.

    2. Menjelaskan bahawa tanggungjawab pembangunan mampan adalah tanggungjawab bersama. 

    3. Merumuskan strategi dan pelan tindakan LA21 berdasarkan isu-isu pembangunan mampan setempat.

    4. Melaksanakan pelan tindakan LA21 dalam bentuk projek-projek pembangunan mampan.

    LOCAL AGENDA 21 PUTRAJAYA


    Local Agenda 21 Putrajaya (LA21 Putrajaya) telah ditubuhkan pada tahun 2008 dengan wawasan berikut:

    “Kami, Masyarakat Putrajaya, akan menggembleng tenaga dan secara bersepakat menjadikan Putrajaya bandar raya ceria, mesra alam, selamat, beridentiti dan mempunyai penduduk yang berilmu dengan mengamalkan nilai-nilai murni demi kesejahteraan penduduk masa kini dan generasi masa hadapan.”

    Bagi merealisasikan wawasan tersebut, enam (6) kumpulan jawatankuasa kerja telah ditubuhkan di bawah LA21 Putrajaya, iaitu:

    1. Urusetia Induk LA21 Putrajaya

    2. Jawatankuasa Landskap dan Pertanian Bandar

    3. Jawatankuasa Program Penternakan Kelulut

    4. Jawatankuasa Alam Sekitar, Tasik dan Wetland

    5. Jawatankuasa Program Kesihatan dan 5R

    6. Jawatankuasa Sosial dan Pembangunan Komuniti


    Sila Layari Portal LA21:https://la21.ppj.gov.my/